Thursday, April 24, 2008

Bermulanya Satu Kesinambungan Perjuangan…

Aku sangat bertuah dilahirkan di Malaysia. Malaysia adalah tanah tumpah darahku. Namun nun jauh di sana, hatiku terasa rindu dengan ketegasan pemerintahan Tun Dr. Mahathir. Hatiku terasa terguris dan sedih melihatkan Tun diperlakukan seolah tiada jasa yang terpahat di negara warisan kita ini. Kehebatan pemerintahannya sehingga kini masih terasa bangga sebagai rakyat Malaysia. Kewujudan bangsa Malaysia dirasai dunia. Sana sini orang memperkatakan tentang Malaysia. Kita ibarat juara di kalangan Negara dunia ketiga. Kebanyakkan Negara di dunia mengakui kepesatan dan kemajuan Negara yang telah dicapai. Kebanggaan diri teramat tinggi sebagai warga Malaysia yang berdaulat. Semuanya hasil sentuhan Tun Dr. Mahathir. Aku adalah seorang warga Malaysia yang sangat prihatin tentang perkembangan semasa politik Malaysia. Aku melihat sendiri situasi semasa zaman pemerintahan Tun Dr. Mahathir dahulu, kini dan sekarang. Tetapi kini, situasi sudah berubah. Kadang kala ku rasa sedih melihat Tun berjuang bermati-matian tanpa bantuan sesiapa. Setiap lontaran idea sangat bermakna, membina dan relevan untuk masa kini. Tidak pernah rasa letih berfikir atas dasar kebenaran demi agama, bangsa dan negara. Wahai anak bangsa, setiap nasihat, petua, amaran dan teguran dari mantan pemimpin besar kita Tun Dr. Mahathir harus diperhalusi sebelum kita membuat sesuatu tohmahan. Jangan anggap kritikan atau teguran yang pahit seperti jadam itu dogengan belaka. Sebagai anak bangsa kita perlu menimba ilmu daripada orang lama yang banyak pengalaman. Kadang-kadang, kebenaran itu sangat pahit untuk ditelan, namun madu yang enak di makan belum tentu mujarab kepada penyakit yang dihidapi. Halusi, renungi dan ambil iktibar atas apa yang diperkatakan. Mungkin ianya ada hikmah yang tersembunyi yang kita tidak tahu kerana ini semuanya adalah rahsia dan azimat ketentuan Tuhan. Aku rasa terpanggil untuk menukilkan pandangan untuk kita renungi bersama. Wahai rakyat Malaysia, berfikirlah dengan ilmu dan akal yang waras yang Tuhan telah berikan secara saksama demi menegakkan kebenaran.

-sutera timur